Thursday, 14 June 2012

Hikmah Ketawa & Menangis



SEBAGAI manusia, kita diajar supaya menerima keadaan semula jadi tanpa banyak soal. Kejadian alam contohnya siang, malam, panas dan hujan, umpama rentak kehidupan yang mengiringi hidup kita sepanjang hayat.
Cuma apabila keadaan semula jadi itu berubah menjadi sesuatu yang disifatkan sebagai malapetaka seperti hujan kepada ribut taufan yang kemudiannya menyumbang kepada kemusnahan alam, orang mula mengkaji kejadian dan meramal sebarang kemungkinan pada kejadian semula jadi itu. 
Ramai yang ingin tahu, mengapa perkara itu terjadi? Adakah ia boleh dielakkan? 


Selain kejadian alam, sifat manusia juga sering dianggap sebagai fitrah semula jadi seperti ketawa dan menangis. Kita jarang mempertikaikan bagaimana kita boleh menangis dan ketawa begitu spontan sekali. Lazimnya, kita memberi jawapan mudah iaitu ia sesuatu yang membabitkan sentuhan pada jiwa dan perasaan.
Sebenarnya apabila kita menyedari hikmah di sebalik menangis dan ketawa, kita boleh lebih mengenali dan menganalisa diri serta mengawalnya.


Tanpa disedari, walaupun sekadar menangis dan ketawa, ada banyak proses yang berlaku untuk perkara itu berlaku. Kebiasaan budaya seluruh dunia menerima keadaan yang mana manusia bebas menangis dan ketawa di mana saja. 


Tiada sesiapa memberitahu apabila seseorang itu menangis atau ketawa, tubuh melalui perubahan fizikal dan kimianya yang tersendiri. Justeru, menangis dan ketawa amat perlu untuk kebaikan emosi dan fizikal. Ia menyempurnakan diri kita sebagai manusia normal. 


Proses menangis adalah rumit berbanding apa yang dibayangkan. Sebelum itu, kenal pasti tiga jenis air mata yang ada pada manusia. 


Air mata basal yang berfungsi melembapkan mata. 


Air mata refleks yang terjadi apabila bertindak balas dengan sesuatu seperti habuk dan memotong bawang. 


Air mata emosi yang berlaku apabila tubuh bertindak balas dengan sesuatu yang menyentuh emosi. 


Ketiga-tiga tangisan mengandungi protein kimia dan hormon yang berbeza. Ahli sains mendapati tangisan yang berlaku kerana emosi mengandungi tahap mangan dan hormon prolaktin yang tinggi. Ini menyumbang kepada pengurangan kedua-duanya di dalam badan dan membantu melepaskan tekanan. 


Ramai orang berasa menangis boleh melegakan perasaan sedih dan ini sebenarnya kerana kimia dan hormon yang dilepaskan bersama tangisan itu. Bagaimana kita boleh menangis? 


Sekiranya ia membabitkan emosi, maka ia perlu diaktifkan. Lazimnya, keaktifan itu berlaku daripada faktor luaran seperti kesakitan, kesedihan dan kehilangan. Apabila perasaan dilanda emosi, sistem saraf merangsang kranial di otak dan terus menghantar isyarat kepada penghantar saraf ke kelenjar air mata. Kelenjar air mata yang terbesar, kelenjar lacrimal menghasilkan air mata yang disebabkan sentuhan emosi dan refleks. 


Ramai yang percaya dalam masa tertekan, badan bergantung kepada kelenjar ini untuk melepaskan jumlah kimia dan hormon berlebihan supaya kembali kepada keadaan stabil. 


Ramai juga berasa kaum wanita lebih sesuai menangis kerana faktor fizikal dan mereka insan yang lemah berbanding lelaki. Namun begitu setelah mengetahui kebaikan daripada ‘aktiviti’ menangis ini, elok juga lelaki digalakkan menangis. 


Ada lima sebab untuk menangis: 


-Menangis melegakan tekanan. 


-Menangis merendahkan tekanan darah berlarutan. 


-Air mata membuang toksin dari badan. 


-Tangisan mengurangkan tahap mangan di dalam badan, sejenis mineral yang boleh menjejaskan mood. 


-Menangis kerana anda manusia. Mata semua mamalia lembap oleh air mata, tetapi hanya manusia menitiskan air mata sebagai tindak balas kepada tekanan emosi. 


Seperti menangis, ketawa juga salah satu cabang mengurangkan tekanan. Sering diungkapkan ketawa adalah ubat yang mujarab kerana hati yang berat boleh menjadi ringan setelah ketawa. Adakah ia benar? 


Apabila ketawa, badan membuat gerak isyarat muka dan bunyi. Badan lebih relaks ketika ketawa. Otot diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan belakang semua bergerak sama dan umpama bersenam. 




ketawa pengubat duka
Saintis mendapati ketawa 100 kali sama dengan 10 minit melakukan senaman mendayung dan 15 minit berbasikal. 


10 minit mendayung


Ketawa juga membantu menggalakkan penyembuhan dalam badan dengan mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan aliran darah serta mengurangkan tekanan. 


Ketawa mudah berjangkit malah sering berlaku, apabila melihat orang lain ketawa, kita boleh tertawa sama. Malah orang sekeliling yang lain pun turut ketawa. 


Ada orang, apabila tertekan atau marah menonton filem komedi dengan harapan dapat ketawa bagi membuang emosi negatif yang mereka hadapi. 


Penyelidikan juga mendapati ketawa sering menjadi ‘alat’ manusia mengukuhkan hubungan mesra. Ia membantu merapatkan sesama manusia atau keluarga di samping menghasilkan impak keadaan yang tenang. 


Ketawa melegakan tekanan, merangsang penyembuhan serta memberi manfaat kepada kedua-dua emosi dan fizikal. Begitu juga apabila seseorang itu berasa malu atau terancam, ketawa boleh meredakan kegelisahan. 


Kita memerlukan kedua-dua ketawa dan air mata untuk melalui kehidupan yang normal. Menangis melegakan tekanan, begitu juga ketawa.


sumber : Harian Metro 15 JUNE 2012

No comments:

Post a Comment